Kelantan bangkit dari ketinggalan 0-1 untuk membenam cabaran Johor FC 4-1 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu malam tadi. Kekalahan Negeri Sembilan di tangan Perak sementara Selangor pula sekadar seri bertemu Kuala Lumpur di Shah Alam membolehkan pasukan bimbingan Datuk M Karathu berada di persada Liga Super setelah mengumpul 7 mata dari 3 perlawanan.
Perubahan formasi daripada 4-5-1 yang diamalkan pada dua perlawanan terdahulu kepada formasi 4-4-2 tenyata membuahkan hasil, apabila gandingan Norshahrul Idlan Talaha dan Ramzul Zahini Adenan di posisi serangan pasukan The Red Warriors dilihat berfungsi dengan baik.
Bermula babak pertama, pasukan The Red Warriors terlebih dahulu mengasak melalui rangkaian penyerang Norshahrul Idlan Talaha, Ramzul Zahini Adenan dibantu oleh Nurul Azwan Roya dan K Soley di bahagian kiri dan kanan sayap pasukan. Namun asakan bertali arus pasukan Kelantan berjaya dipatahkan oleh pasukan pelawat itu.
Sedang asyik menyerang, Johor FC yang jarang-jarang melakukan asakan akhirnya memecah kebuntuan apabila rembatan padu Mohd Riduwan Ma'on pada minit ke-25 menewaskan Khairul Fahmi Che Mat di gawang gol Kelantan.
Tersentak dengan jaringan itu, pasukan Kelantan terus mengatur asakan bertali arus ke kubu Johor FC dan hasilnya, bekas penyerang Johor FC iaitu Nurul Azwan Roya menyamakan kedudukan hasil rembatan kaki kiri yang berjaya mengelirukan penjaga gol Johor FC, Mohd Anis Faron pada minit ke-18. Aksi babak pertama berakhir dengan kedudukan 1-1.
Bermula pada babak kedua, pasukan Kelantan dilihat berjaya mendominasi perlawanan dengan baik. Serangan bertali arus di lakukan oleh pasukan Kelantan dan hasilnya pada minit ke-50, hantaran lintang Norshahrul Idlan Talaha tertampan masuk ke gol sendiri oleh pemain yang memakai jersi nombor 15 Johor FC iaitu Mohd Riduwan Ma'on, untuk Kelantan mendahului 2-1.
Pada minit ke-60, Kelantan hampir berjaya menyumbat gol ketiga hasil rembatan penyerang muda, Ramzul Zahini Adenan tapi sayangnya rembatan beliau hanya singgah di palang gol pelawat tatkala penjaga gol Johor FC sudah tertewas. Selang lima minit kemudian, giliran Norshahrul Idlan Talaha pula menguji penjaga gol Johor FC, namun rembatan Norshahrul berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol pasukan lawan.
Usaha keras Norshahrul Idlan Talaha akhirnya membuahkan hasil setelah beliau bijak memperdayakan pertahan lawan dan juga mengelirukan penjaga gol Johor Fc pada minit ke-70. Setelah mendahui selesa 3-1, Datuk M Karathu membuat pertukaran pertama dengan memasukkan penyerang muda Mohd Nizab Ayub bagi menggantikan Solehin Kanasian yang kurang berfungsi di posisi sayap kanan. Ternyata, kemasukan Nizab Ayub tidak sia-sia apabila beliau menyumbat gol keempat pasukan pada minit ke-77 hasil umpanan ketua pasukan, Badri Radzi.
Akhirnya, pasukan Kelantan berjaya memenangi perlawanan yang cukup menarik itu dengan jaringan 4-1, secara tidak langsung menceriakan lebih 18,000 penyokong yang hadir.
Kesebelasan Utama:
Kelantan FA :
Khairul Fahmi Che Mat (GK), Daudsu Jamaludin (S.Subramaniam), Rizal Fahmi Rosid, Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Solehin Kanasian (Nizab Ayub), Badri Radzi (C), Shakir Shaari, Nurul Azwan Roya, Ramzul Zahini Adenan (Danial Fadly), Norshahrul Idlan Talaha.
Jurulatih : Datuk M.Karathu
Johor FC :
Mohd Anis Faron (GK), Mohd Radzi Jasman, Khairi Kiman (Azizan Baba), Mohd Irfan Ghani, Mohd Riduwan Ma'On, Hasni Zaidi Jamian, Mohd Rasyid Aya, Rezal Zambery Yahya (C), Wan Mohd Hoesne (Eddy Helmi Manan), Mohd Saufi Ibrahim, Badrul Abdul Khalid.
Jurulatih : Azuan Zain
No comments:
Post a Comment