Red Carpet TRWfm

Wednesday, January 26, 2011

Bebas



       TIGA bekas pemain Kelantan bebas.
Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Muhammad dan Azizi Mat Rose serta bekas kapten Kuala Lumpur, Azidan Sarudin disahkan bebas untuk beraksi dengan pasukan baru pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Indra, Farhan dan Azizi kini menyarung jersi T-Team manakala Azidan menyarung jersi Selangor.
Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bersidang semalam mendapati notis tawaran lanjutan kontrak yang dikemukakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) kepada pemain-pemain terbabit adalah tidak sah.
Pengerusinya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, notis tawaran lanjutan kontrak yang dikemukakan KAFA dan KLFA itu didapati tidak mematuhi tempoh tiga bulan yang ditetapkan serta tidak disertakan terma dan syarat untuk kontrak baru.
“Peraturan 10.1 menyebut bahawa notis tawaran lanjutan kontrak perlu diberikan kepada pemain tiga bulan sebelum kontraknya tamat.
“Peraturan 10.2 pula menyebut bahawa notis tersebut perlu disertakan dengan terma dan syarat untuk kontrak baru seperti gaji, sambung berapa lama, bonus, elaun dan sebagainya.
“Peraturan 10.3 pula menyebut bahawa pemain perlu menjawab notis tersebut dalam tempoh 30 hari selepas menerimanya.
“Untuk kes Indra, Farhan dan Azizi, kontrak mereka tamat pada 30 November 2010 iaitu 30 hari selepas perlawanan terakhir Kelantan (30 Oktober). Notis sepatutnya diberi sebelum 30 Ogos tetapi KAFA hanya beri notis itu pada 1 September.
“Bagi kes Azidan, kontraknya tamat pada 8 November 2010 iaitu 30 hari selepas perlawanan terakhir Kuala Lumpur (9 Oktober). Notis sepatutnya diberi sebelum 8 Ogos tetapi KLFA hanya beri notis itu pada 6 September.
“Jadi memang jelaslah Peraturan 10.1 gagal dipatuhi oleh KAFA dan KLFA. Maka notis dikeluarkan mereka itu tidak sah,” kata Takiyuddin pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Jelas Takiyuddin, tuntutan pampasan KLFA sebanyak RM250,000 kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kerana mendakwa Azidan, 25, yang mereka didik sejak berusia 15 tahun turut ditolak.
“KLFA tidak layak menerima pampasan kerana usia Azidan sudah melebihi 21 tahun dan ini bukan kali pertama dia menandatangani kontrak profesional. Pampasan dituntut KAFA juga ditolak tetapi tidak dinyatakan jumlah,” ujarnya.
Sementara itu, kes ketiga membabitkan empat pemain PKNS musim lalu ditolak selepas pihak pengadu iaitu PKNS memilih untuk berbincang terus dengan empat majikan baru bekas pemain mereka itu.
Justeru empat pemain terbabit, G. Mahathevan kini bebas untuk menyarung jersi Negeri Sembilan, Saufi Ibrahim (Johor FC), Alafi Mahmud (Pahang) dan A. Varathan (Sime Darby).




1 comment:

  1. Merit Casino | Play With Bitcoin Now | Dunder Casino
    Play online from anywhere with Dunder Casino. Get febcasino a 50% match bonus and play septcasino with Bitcoin. Play games like Blackjack, Roulette & deccasino more.

    ReplyDelete